Oleh Syuhada Choo Abdullah, Zabidi Hitam, Khairina Yasin, Noor Azlina Zainudin dan Umi Nadirah Abdul Rahman

Noor Izati, Muhammad Marwan dan Saravanan terima anugerah

KECACATAN penglihatan dan spastik bukan penghalang kepada tiga calon istimewa mencapai kejayaan sehingga dinobatkan sebagai antara penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2007, semalam.

Pelajar terbabit ialah Noor Izati Meor Samsudin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John, Kuala Lumpur, yang menerima anugerah calon istimewa cemerlang bagi kategori buta, Muhammad Marwan Mohd Tanos dari Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru (rabun), dan Saravanan a/l Sagadevan dari SMK Chio Min, Kulim (spastik).Mereka ialah sebahagian daripada 16 calon menerima APC STPM 2007, selain dua pelajar lagi yang cemerlang dalam ujian Malaysian University English Test (Muet) 2007, dengan masing-masing diberi ganjaran berupa wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan plak. 

 Noor Izati, 20, ketika ditemui berkata, dia yang cacat sejak lahir, tidak berasa janggal atau tersisih daripada masyarakat. Baginya kecacatan bukan penghalang mencapai kejayaan.“Saya sentiasa bergaul dengan pelajar normal di sekolah kerana mereka senang mendapat maklumat, khususnya berkaitan pelajaran.

“Malah, saya mengamalkan perbincangan dalam kumpulan dengan mereka. Lagipun di Tingkatan Enam, guru banyak memberi kerja berkumpulan di mana rakan normal membantu mencari maklumat, manakala saya pula berperanan menaipkan menggunakan komputer yang dilengkapi teknologi pembaca skrin,” katanya. Anak kelima daripada enam beradik itu mencatat keputusan prinsipal A bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah, Kesusasteraan Melayu (B) dan Pengajian Am serta Syariah (C+).

Satu lagi pendekatan pembelajaran menarik anak pasangan pesara pegawai Risda dan jururawat itu ialah merakam bahan rujukan secara audio dibacakan ahli keluarga dan mahasiswa sukarelawan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.“Menerusi kaedah itu, saya dapat belajar lebih pantas dengan mendengar rakaman bacaan mereka,” katanya yang bercita-cita menjadi peguam atau pembaca berita.Saravanan, 21, yang mengalami kecacatan palsi serebrum sejak lahir pula memperoleh keputusan membanggakan prinsipal A subjek Bahasa Malaysia dan Pengajian Perniagaan, serta Gred B+ bagi Pengajian Am, Sejarah dan Ekonomi.

“Saya memperuntukkan sekurang-kurang lima jam untuk belajar setiap hari dan mempunyai jadual waktu tersendiri. Saya sentiasa mengingatkan diri supaya tidak leka kerana yakin saya mampu berjaya dalam pelajaran,” katanya yang bercita-cita menjadi pakar teknologi maklumat.

Bagi Asnarita Tarmizi, 20, dari SMK Paya Besar, Kuantan, berkata beliau sentiasa memberi fokus semasa guru mengajar.Katanya, penat lelah mengulang kaji pelajar sehingga jam 4 pagi membuahkan hasil apabila memperoleh A bagi semua 10 kertas yang diambil.

Seorang lagi calon, Khairul Azhar Meerangani, dari SMK Agama Sheikh Hj Mohd Said, Seremban, berkata amalan sembahyang sunat hajat yang diamalkan setiap hari membantunya meningkat keyakinan dan semangat terus belajar, sekali gus mencatat kejayaan cemerlang.

“Saya berharap cita-cita menjadi pensyarah bidang Syariah Perundangan akan menjadi kenyataan,” katanya